Salah satu tajuk di dalam buku 'Aku Terima Nikahnya'.
Cinta tanpa syarat ialah sebagaimana cinta Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya. Allah s.w.t tidak pernah meletakkan apa-apa syarat dalam mencintai makhlukNya. Walaupun bukan semua hambaNya patuh dan akur terhadap perintahNya, namun sifat kasih dan sayang, ar-rahman dan ar-rahim, tidak pupus dariNya. Malahan, Allah s.w.t semakin mengasihi dan menyayangi hamba-hambaNya yang menurut segala peraturanNya.
Maka dengan segenap kasih sayang yang ada pada diri Yang Maha Esa, Allah s.w.t memercikkan sebahagian dari kasih sayang dan cintaNya kepada hamba-hambaNya yang bergelar ibu dan bapa.
Ibu bapa mencintai dan menyayangi anak sebelum anak itu dilahirkan lagi, tetapi anak hanya bisa mencintai dan menyayangi ibu dan ayahnya mungkin setelah diri anak itu sendiri menjadi ibu atau ayah. Kasih anak, kadangkala tidak sampai ke makam ayah dan bonda.
Allah s.w.t juga mengurniakan dalam diri ibu dan ayah percikan sifat al-wahhab (iaitu Maha Pemberi). Ibu dan ayah sanggup membuat apa sahaja demi anak, dari usia anak itu kecil hingga ke dewasa. Ibu dan ayah memberi tanpa meminta balasan, tanpa syarat. Mereka melakukan semua itu bukan untuk jangka masa yang singkat, tetapi memakan hampir seluruh umur mereka. Itulah pengorbanan hakiki.
Namun sebagai anak, kita kadangkala alpa dengan kenyataan ini. Apatah lagi, kasih sayang kita terhadap ibu dan ayah kita hanya akan dilahirkan dengan bersyarat. Contohnya, dapat duit belanja lebih, baru 'sayang mak'. Ayah belikan motosikal, baru diucapkan 'sayang ayah'.
Cuba kita muhasabah, apa yang akan terjadi jika ibu dan ayah kita sayang dengan bersyarat? Tentu hidup kita susah.
Perkara ini bukan sahaja berlaku di dalam kehidupan kita sebagai seorang anak, tetapi sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Kadang-kadang kita hanya akan buat amal ma'ruf nahi mungkar jika kita tahu kebaikan apa yang dapat diraih dari perbuatan kita. Cinta kita kepada Allah s.w.t bersyarat, contohnya: bila kita tak malas, barulah kita hendak membaca al-Quran, ataupun apabila kita jatuh sakit, barulah lidah ini dibasahi dengan zikrullah.
Bayangkan jika Allah s.w.t bersikap begitu. Sebagaimana yang ustaz tulis di dalam bukunya, jika setiap solat kita hanya diterima oleh Allah s.w.t seandainya kita benar-benar khusyuk, berapa banyak solat yang kita khusyuk yang sebenar-benarnya? Fikirkanlah...
Siapalah kita untuk meletakkan syarat. Sedangkan keberadaan kita di sini disebabkan oleh Allah s.w.t. Kita manusia sebenarnya 'berhutang budi' dengan Allah s.w.t. Oleh itu, janganlah kita sesekali sombong dan angkuh dalam menunjuk rasa kasih sayang terhadapNya. Tiada salah kita menzahirkan rasa kasih sayang kita dengan ucapan (sebagaimana ummsofiyyah ungkapkan):
Ana Uhibbuka Ya Rabb
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment