Pukul 6 pagi tadi, aku sekeluarga dikejutkan dengan berita bahawa salah seorang pak cik ku telah meninggal dunia. Innalillah. Sungguh tak disangka dan tak dijangka. Kenapa? Sebab selama ini, aku tidak pernah tahu akan kewujudan pak cik ku, dan selama ini, keluargaku tidak pernah diberitahu akan penyakitnya.
Kadang-kadang aku berasa marah. Kenapa kami disisihkan? Adakah ianya semua kerana harta? Adakalanya pula, aku sedih. Kerana hubunganku dengan mereka semakin jauh, dan aku tidak tahu bagaimana hendak dipulihkan lagi. Aku sayang saudaraku, kerana mereka dapat membangkitkan kenanganku kembali terhadap ayahku. Namun, jika kita tidak memperbaikinya sekarang, apakah kita akan mendapat peluang itu nanti?
Perkara ini sudah bertahun terjadi. Apakah kita masih mahu begini?
Ya Allah
Cucurilah rahmat ke atas roh ahli keluargaku yang telah pergi
Cucurilah rahmat ke atas roh ahli keluargaku yang telah pergi
Ibuku bercerita sedikit tentang arwah ayah. Tentang tingkah lakunya dengan adik-beradiknya. Bila ku fikir-fikir kembali, banyak perkara yang ku tidak tahu tentang ayahku. Rasa masa yang kami lalui bersama terlalu singkat. Dan aku, pada waktu itu, masih lagi keanak-anakan. Masih lagi tidak tahu bersyukur, menghargai setiap nikmat yang Allah berikan.
Aku menyesal kerana tidak pernah ingin mengenali ayahku semasa hayatnya. Tidak pernah mengucapkan betapa aku sayangkan ayahku. Aku masih teringat lagi, akulah anak yang paling nakal, dan yang paling susah dijaga. Aku suka membuli kakakku dan adikku. Memberi masalah setiap pagi sebelum ke sekolah. Jika bekal yang diberi tidak ku suka, aku akan lemparkannya. Memuntahkan isi perutku setiap kali diberi ubat. Biarpun begitu, ayahku begitu penyabar. Tidak pernah ku dipukul...cuma sekali sahaja.
Ayah tidak pernah dapat melihatku melepasi peringkat rendah. Tidak berkesempatan untuk melihat anaknya meraih O level, A level. Tidak dapat menghantarku ke universiti pada hari pertama.
Aku tidak ingin perkara yang sama berulang. Aku tak mahu kehilangan kesempatan untuk berbaik-baik semula dengan saudaraku, sebelum semuanya terlambat.
Nenek juga bersedih aku kurang menziarahinya. Tadi kukatakan padanya, sudah sebulan aku bercuti. Riak hampa jelas di wajahnya. Bagaimana nek? Bukan tak mahu berjumpa. Aku sedar kedatanganku ke sana mungkin tidak akan disambut dengan baik oleh saudara yang lain.
There are times when strangers are like family, and family are like strangers.
- Hlovate
Wallahu 'alam...
No comments:
Post a Comment