pathway

pathway
Berjalan Mencari Makna dalam Hidup

al-mahbub

  • Allah & His Messenger
  • my family
  • mereka yang menyayangi saya :))
  • babies and toddlers
  • my course
  • my late cat :(

Friday, December 4, 2009

beruntungnya kita :)

Bismillah

Sungguh beruntung aku hidup di zaman ini. Banyak kelebihan yang aku dapati sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, yang mana tiada diberikan kepada umat-umat terdahulu. Umat ini disifatkan sebagai umat yang terbaik melalui firman Allah s.w.t:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (ali Imran: 110)

Walaupun jangka hayat umat akhir zaman ini tidak sepanjang jangka hayat umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh a.s yang hidup sehingga mencecah 1000 tahun, dan waktu yang kita ada untuk beribadah tidak sebanding dengan mereka, namun ibadah ke atas kita itu mudah, malah pahalanya banyak. Tiada alasan untuk kita mengatakan Allah s.w.t itu tidak adil disebabkan waktu untuk kita beribadah lebih pendek daripada umat terdahulu. Maha Suci Allah...

Malah Allah s.w.t menggantikan kita dengan 'hadiah' yang lebih istimewa. Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

Kita boleh lihat beberapa contoh mengapa kita begitu beruntung untuk hidup di zaman ini. Salah satunya ialah bagaimana umat Nabi Musa a.s dilarang memakan beberapa bahagian daging lembu, sedangkan bagi kita, selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah s.w.t, maka daging lembu tersebut adalah halal untuk dimakan.
Selain itu, pahala yang kita dapat bagi setiap amalan yang kita lakukan akan digandakan pahala kebaikan bermula dari 10 hingga ke 700 kali ganda. Jika sehari melakukan kebaikan, maka akan digandakan pahala kepada seolah-olah 10 hari kebaikan secara minimum. Jika setahun melakukan kebaikan, maka minimum ganjarannya adalah 10 tahun! Alangkah bertuahnya umat Muhammad.

Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, dari Abdullah Bin Abbas r.a, daripada Rasulullah s.a.w, bahawa diriwayatkan dari Allah Taala (Hadis Qudsi): Sesungguhnya Allah menghitung kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudian dijelaskan lagi, barang siapa yang berniat (untuk melakukan) kebaikan dan masih tidak melaksanakannya, (maka) Allah menulis baginya kebaikan yang sempurna. dan barang siapa yang berniat (untuk melakukan) kebaikan dan kemudian melaksanakannya, maka Allah menuliskan baginya sepuluh kebaikan hingga 700 kebaikan, dan berkali-kali ganda banyaknya.


Dan barang siapa yang berniat (untuk melakukan) kejahatan tetapi tidak melaksanakannya, Allah akan menulis baginya kebaikan yang sempurna. Dan barang siapa yang berniat (untuk melakukan) kejahatan dan melaksanakannya, (maka) Allah menulis baginya satu kejahatan (sahaja). - Bukhari, 6491; Muslim, 131; Musnad Ahmad, 28 27


Lihatlah betapa Allah s.w.t itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jika kita berniat baik sahaja sudah mendapat pahala, kemudian berbuat pula akan diberikan lagi pahala malah digandakan. Sedangkan jika berniat buruk sahaja tanpa melaksanakannya, tiada dosa yang diambil kira malah diberikan pahala, dan apabila kita melakukannya, hanya satu dosa yang dicatit, tiada digandakan.

Berbeza dengan manusia; apabila seseorang itu membuat kesalahan, biarpun kecil, ia akan diingati sampai bila-bila, dan segala perbuatan baiknya dilupakan.

Satu lagi ialah perkara taubat. Tempoh untuk bertaubat bagi kita adalah bila-bila masa sahaja sebelum sakaratul maut. Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah seperti solat fardhu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu, maka insyaAllah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.


Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat fardhu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa lalu.


Tidak bagi umat terdahulu, mereka memerlukan tempoh tertentu bagi mendapat keampunan daripada Allah. Malah, pernah bangsa Yahudi melakukan kesilapan menduakan Allah dengan menyembah sapi, lalu mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat mereka diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad?


Tulisan ini adalah untuk menyedarkan kepada penulis sendiri supaya bersyukur kerana dihidupkan pada zaman ini. Moga kita digolongkan sebagai orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya:


Daripada Abu Hurairah.. "Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita lihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: "Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?" Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (mukmin di masa hadapan)" – Riwayat Muslim


Wallahu 'ala wa 'alam

rujukan:
http://abahyasir.com/2009/07/5-sebab-mengapa-kita-perlu-kepada-solat/comment-page-1/
http://nurjeehan.hadithuna.com/2009/09/pencarian-lailatul-qadar/
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

No comments: