Bismillah
Alhamdulillah. Anak-anak selesai sesi persekolahan tahun 2014. Aku berasa sangat gembira dengan pencapaian mereka, namun masih banyak lagi yang belum kukongsikan dengan mereka. Masa kita bersama sekejap cuma... dan kini aku meninggalkan mereka selama-lamanya.
Sedih dan berat hati ini ketika meninggalkan mereka, namun diriku juga harus diutamakan. Berapa lama lagi hendakku biarkan diri menjadi bola, dibawa ke sana sini oleh orang yang kurang simpati? Tidak lagi!
Aku juga sedang melalui sebuah lagi perkenalan. Awalnya memang indah, ahli keluarga semua nampak bersetuju. Namun tiba-tiba, hari ini aku dikejutkan lagi dengan berita yang kurang menyenangkan. Ibu seolah-olah menjadi penghalang; hubungan ini tidak boleh dilanjutkan. TITIK!
Ah, mengapa... mengapa sekarang begini jawapannya, setelah dia datang bersemuka? Mengapa bukan semasa dia masih di alam maya?
Diriku menjadi serba-salah. Hatiku kuat mengatakan dia adalah wira yang kunanti-nanti. Dari awal perkenalan kita sehingga sekarang, aku masih tidak ragu.
Ah ibu. Bukan aku tak mahu mendengar katamu. Yakinlah setiap apa keputusan yang kuambil, ibu adalah orang pertama di fikiranku.
Aku berserah padaMu ya Allah. Kerana keyakinanku berteraskanMu. Engkau Maha Mengetahui, maka ilhamkanlah aku dengan pengetahuanMu.